VIETNAM 3 SINGAPURA 1
(Vietnam ke final dengan agregat 5-1)

Vietnam mara ke final Kejohanan Piala ASEAN Mitsubishi Eletric (AMEC) buat kali kelima sepanjang sejarah penyertaan mereka apabila menewaskan Singapura 3-1 di Stadium Phu Tho malam tadi.

Berbekalkan kelebihan dua gol hasil kemenangan 2-0 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Jalan Besar pada Khamis lalu, skuad Naga Emas itu melangkah ke final dengan cukup bergaya hasil kelebihan agregat 5-1.

Juara dua kali itu dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-40 dan kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya Nguyen Xuan Son untuk meletakkan tuan rumah di depan.

Xuan Son sekali lagi menjadi duri dalam daging buat Singapura dalam babak kedua, di mana dia menggandakan jaringan peribadinya pada minit ke-63 dengan menolak masuk lintangan Nguyen Hoang Duc.

Singapura memberikan repons berselang 10 minit menerusi ledakan jarak jauh Kyoga Nakamura, yang menewaskan Nguyen Dien Trieu.

Bagaimanapun, sisa-sisa harapan itu dimusnahkan kembali apabila Vietnam memperoleh satu lagi sepakan penalti, yang disempurnakan Nguyen Tien Linh pada tiga minit terakhir.

Vietnam seterusnya akan menantikan pemenang di antara Thailand dan Filipina bagi perebutan kejuaraan pada Rabu dan Ahad ini.