Pemain tengah Wales, Joe Allen, menyasarkan untuk meraih mata maksimum daripada dua perlawanan yang perlu dihadapi pasukannya dalam aksi kelayakan Piala Dunia, bulan depan.

Wales menewaskan Moldova 2-0 awal pagi tadi dan berjaya mendaki ke tangga kedua Kumpulan D, namun dipisahkan dengan empat mata di belakang pendahulu, Serbia.

Skuad kendalian Chris Coleman itu kini perlu meneruskan rentak kemenangan untuk sekurang-kurangnya menempatkan diri dalam lapan pasukan terbaik di tangga kedua bagi mengesahkan tempat dalam saingan play-off.

“Ia tidak akan menjadi mudah tetapi apa yang penting adalah meraih mata maksimum dan kita akan tahu ke mana hala tuju nanti,” ujar Allen.

“Apa yang menjadi keutamaan adalah kami mengutip enam mata daripada dua perlawanan dan momentum ini perlu diteruskan sehingga aksi terakhir.

“Kami berjaya menjaringkan gol penting ketika menentang Moldova dan meneruskan tekanan.”

Allen turut melahirkan rasa bangga selepas pemain muda Liverpool, Ben Woodburn, memainkan peranan besar ketika menewaskan Moldova, termasuk melakukan bantuan jaringan buat Hal Robson-Kanu.

“Woodburn kini adalah seorang pemain yang berbeza. Dia sudah menjadi semakin hebat.”