ARGENTINA 29 WALES 17

Emiliano Boffelli membintangi kemaraan Argentina ke separuh akhir Piala Dunia Ragbi 2022 apabila menyingkirkan Wales dengan kemenangan 29-17 dalam aksi suku akhir di Stade Velodrome lewat malam tadi.

Wales bimbingan Warren Gatland diletakkan harapan besar untuk layak ke separuh akhir Piala Dunia buat kali ketiga daripada empat penampilan terakhir tetapi Argentina memusnahkan harapan itu walaupun bergelut dalam saingan peringkat kumpulan sebelum ini.

Wales pada mulanya mendahului 10-0 hasil try, conversion dan penalti Dan Biggar tetapi Boffelli kemudian memadamkan difisit itu dengan empat penalti menjelang separuh masa.

Scrum-half, Tomos Williams, kemudian melakukan try yang disusuli conversion Biggar untuk kembali meletakkan Wales di depan tetapi prop Pumas, Joel Sclavi, dan fly-half gantian, Nicolas Sanchez, melakukan try pada lewat permainan yang disudahkan dengan conversion Boffelli sebelum Sanchez menyudahkan penalti terakhir bagi mengesahkan kemenangan Argentina.

Kekalahan Wales itu menyaksikan ia menjadi penamat buat karier Biggar di peringkat antarabangsa seperti yang pernah diumumkannya pada Ogos lalu.

Argentina, dalam pada itu, akan berdepan New Zealand bagi penentuan ke final awal pagi Sabtu ini.