Lionel Messi sedar harapan Paris Saint-Germain (PSG) untuk mengecapi kejayaan Liga Juara-Juara (UCL) akan bersandarkan perincian ketika berdepan Bayern Munich.

Juara Ligue 1 dan juara Bundesliga itu akan berentap dalam perlawanan kedua pusingan 16 di Allianz Arena, awal pagi Khamis ini, selepas tumpas 0-1 dalam perlawanan pertama di halaman sendiri.

Ia merupakan kali ketiga mereka tumbang berturut-turut tetapi sejak itu, anak buah Christophe Galtier tersebut bangkit menerusi tiga kemenangan dramatik.

Kemenangan itu telah membantu menjana momentum menuju perlawanan getir musim ini, dan Messi sedar butiran kecil mampu memacu siapakah yang lebih berhak untuk ke suku akhir UCL.

"Adalah penting untuk masuk ke permainan dengan cara ini (mencipta tiga kemenangan)," katanya kepada laman sesawang rasmi kelab.




“Kami tidak berada dalam prestasi terbaik sepanjang musim ini.

"Saya fikir kami merakamkan kemenangan penting bagi mengukuhkan pasukan apabila kami bertandang ke Munich. Ia akan menjadi perlawanan yang sangat sengit dan sukar, ia akan ditentukan oleh butiran kecil.

"Malah amat sukar untuk menang di Munich tetapi saya rasa kami sudah bersedia dengan baik. Kami mampu mengubah nasib. Saya berasa sangat baik.

"Saya rasa pasukan telah berubah dalam beberapa perlawanan terakhir. Kami mempunyai wajah dan dinamik berbeza. Kami memasang impian besar untuk meneruskan perjalanan kami dalam UCL.

"Kami akan melakukan segala yang terdaya untuk cuba mengubah keadaan ketika menentang Bayern dan melepasi pusingan ini, ia yang merupakan matlamat semua orang."