Pengurus Paris St Germain, Luis Enrique, memberitahu pemainnya supaya melupakan sejenak pertembungan Liga Juara-Juara (UCL) dengan Barcelona, sebaliknya menumpukan perhatian sepenuhnya kepada satu lagi tugas untuk menghampiri kejuaraan Ligue 1.

Kelab Paris itu akan menghadapi pertembungan di tempat sendiri dengan Clermont yang berada di tangga tercorot dengan kelebihan 12 mata di depan pencabar terdekat, Brest, dalam misi menjlang mahkota domestik buat kali keenam dalam tujuh musim.

Mereka kemudian akan mengalihkan perhatian kepada pertembungan suku akhir pertama UCL dengan Barca di Parc des Princes, namun Enrique menegaskan bahawa mereka belum memikirkannya.

Dia memberitahu sidang akhbar: “Kami mempunyai beberapa perlawanan penting dan kami belum menjuara,i jadi kami perlu bermain untuk menang.

“Terdapat keinginan untuk memenangi segala-galanya dan saya mahu pemain memikirkan tentang perlawanan menentang Clermont dan bukan yang lain.




“Ia akan menjadi antara perlawanan yang sangat sukar musim ini. Kami menguasai tangga teratas, mereka di tempat ke-18 dan mereka akan memberikan segala yang mereka ada demi untuk kekal.

“Kami perlu melihatnya sebagai cabaran kerana akan turun beraksi di hadapan penyokong sendiri kerana kami sudah bersedia untuk menderita.

"Apa pun, kami perlu menerima sokongan padu daripada peminat yang akan berada di belakang kami.”