Skuad kendalian Mikel Arteta sedang dalam prestasi terbaik, justeru Martin Odegaard yang menyempurnakan penentuan sepakan penalti pertama percaya Arsenal tidak perlu gentar untuk menghadapi Real Madrid, Bayern Munich mahupun Manchester City dalam pusingan Liga Juara-Juara (UCL) yang seterusnya.

"Sejujurnya, kami tidak boleh berfikir seperti itu," kata ketua pasukan The Gunners berkenaan apabila ditanya sama ada terdapat sesiapa yang ingin mereka elakkan dalam undian hari ini.

“Ini adalah kejohanan terbesar di dunia dan tidak kira mana-mana pasukan yang akan kami temui sekalipun, mereka pastinya handalan. Kami akan hadap sahaja mana-mana lawan sambil cuba untuk menang.







“Kami mahu berada di pentas terbesar. Kami mahu beraksi dalam perlawanan terbesar dan merebut trofi terbesar.

“Apabila saya datang ke sini, saya percaya dengan projek dalam kelab ini serta apa yang mereka lakukan.

"Segala-galanya di sekeliling kelab, saya menaruh harapan tinggi dan kami berada di kedudukan yang baik ini.

“Kami hanya perlu terus saling memacu antara satu sama lain dan memastikan kami menjadi lebih baik setiap hari.

"Kita akan lihat ke mana ia membawa kami.”