Ange Postecoglou menjangkakan Mauricio Pochettino akan menerima sambutan hangat apabila berkunjung ke kubu Tottenham sambil berseloroh tidak akan memberi muka kepadanya.

Pochettino akan kembali ke Spurs buat kali pertama sejak melangkah keluar pada musim sejuk 2019 yang berlaku beberapa bulan selepas dia membimbing kelab utara London itu ke final Liga Juara-Juara (UCL).

Dan sejak itu, penyokong Tottenham sempat melaungkan bekas pengurus tersebut agar dilantik semula di tengah-tengah krisis mereka mendapatkan identiti permainan mereka, namun pengerusi Spurs, Daniel Levy, memutuskan untuk mengambil calon berbeza dengan melantik Postecoglou, sementara Pochettino pada ketika ini sedang menggalas jawatan di Chelsea.

Langkah Pochettino itu dianggap agak mengejut kerana sudi menduduki kerusi panas di Stamford Bridge pada Mei lalu memandangkan perseteruan di antara dua kelab London tersebut sepanjang tempoh lima tahun di Spurs, dan ia boleh mengakibatkan reaksi bercampur-baur apabila mereka kembali bertembung di wilayah N17 minggu depan.

"Tidak dinafikan bahawa dia mempunyai impak yang luar biasa kepada kelab bola sepak ini," kata Postecoglou.

“Kami semua memainkan peranan kami, itulah matlamat utama dan cita-cita kami bahawa apa jua peluang yang diberikan, kami mahu memberi impak dan dia telah membawa kesan besar yang tidak dapat dinafikan kepada kelab bola sepak ini dalam tempoh kendaliannya di sini.


“Dia hampir membawa kelab ini ke kemuncak UCL, menjuarai liga, jadi usahanya tidak boleh dipertikaikan.

"Orang yang pernah bekerja dengannya di sini sering memujinya sebagai seorang insan dan sebagai pengurus.

“Saya meragui sebarang sambutan dingin daripada peminat kami melainkan rasa hormat terhadap Mauricio tetapi ia tidak bermakna bahawa kami akan memberinya muka kerana kami juga mahukan kemenangan.

“Saya tidak fikir dia akan menjangkakan sebegitu tetapi sepanjang tempoh perkhidmatannya dan atas impaknya di sini, memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa ia akan bertahan lama.

“Setiap kali orang mengenangkan Mauricio sebagai pengurus Spurs, mereka hanya akan memandangnya dengan rasa hormat dan sayang.”