Apa pun kesudahannya, penyokong Arsenal boleh dimaafkan jika mereka berasa kelab pujaan mereka itu telah dikurniakan satu musim yang cemerlang.

Tanpa kemenangan sepanjang bulan April – seri dengan Liverpool, Southampton dan West Ham di samping kekalahan kepada Manchester City – kelab The Gunners itu dikerah menelan hakikat pahit yang mereka belum lagi boleh bergelar yang terbaik dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pelbagai andaian dan kesimpulan boleh dibuat tapi laman onefootball.com merumuskan bahawa merudumnya Arsenal dalam fasa terakhir musim ini berkisar kepada tiga faktor yang perlu diperbetulkan sebelum musim depan.

Pertama, kurangnya keberanian pengurus, Mikel Arteta, untuk mengubah formasi pasukannya apabila keadaan menuntut dia berbuat demikian.

Kurangnya mereka daripada segi kedalaman skuad digariskan sebagai faktor kedua di samping ketandusan pengalaman adalah faktor ketiga yang menyulitkan perjuangan ketika tekanan semakin memuncak.

Semakin lama musim berjalan, taktik Arteta sudah menjadi terlalu mudah dijangka pasukan-pasukan lawan.






Pada peringkat permulaan musim, kelompok pesaing mungkin masih berhempas-pulas untuk memahami permainan Arsenal.

Gara-garanya, hampir semua pasukan dalam EPL seakan-akan terjerat dan Arsenal memanfaatkan kesempatan itu untuk menghukum setiap lawan.

Arteta menyerlahkan dirinya sebagai pakar dalam formasi 4-3-3 sambil pengurus itu turut tidak berkompromi dengan pilihan kesebelasannya.

Namun, memasuki fasa kedua musim, pasukan-pasukan lain mula mengerti corak permainan mereka dan menemui cara paling berkesan untuk membendung The Gunners daripada bermaharajalela.





Bukanlah mengejutkan bahawa pasukan-pasukan yang bergelut sebelumnya seperti Liverpool dan West Ham, malah tidak terkecuali Southampton, dapat tampil dengan cara terbaik menangani Arteta dan pemain-pemain pada bulan April.

Mudahnya lawan membaca permainan Bukayo Saka membuatkan dia tidak dapat membantu pasukan di samping pergantungan keterlaluan kepada tonggak seperti Thomas Partey yang mengalami kemerosotan dan William Saliba yang cedera, terus menjejaskan mereka.

Semua ini menuntut Arteta untuk mencari jalan agar tidak mudah diduga, lebih berani mengubah formasinya serta menggilirkan pemain dengan lebih baik musim depan.

Untuk melakukan sistem penggiliran, himpunan pemain simpanan yang bagus diperlukan. Mendatangkan pemain yang bagus di pertahanan, tengah dan barisan depan akan memudahkan usaha Arteta menggilirkan pemainnya.




Dalam hubungan ini, mereka mungkin boleh belajar daripada City yang pintar menugaskan pemain untuk pertandingan yang berbeza-beza hingga membuatkan mereka sentiasa kelihatan segar dan tidak mengalami kelelahan.

Daripada pemain-pemain yang ditandatangani Arteta, hanya Oleksander Zinchenko dan Gabriel Jesus yang menambah pengalaman kepada pasukan sedangkan selebihnya hanya tiba dengan janji yang mereka memiliki potensi.

Tibanya musim panas nanti, pengurus itu perlu melihat kepada pemain yang memiliki pengalaman untuk memperkukuhkan projek bawaannya pada ketika kehilangan Granit Xhaka hanya akan menyulitkan lagi keadaan.
Barangkali bukan musim ini buat Arsenal tapi banyak yang harus dilakukan mereka untuk mengelakkan kempunan dalam musim-musim mendatang juga.