Skuad Harimau Malaya tidak perlu takut sekiranya memperoleh keputusan negatif ketika menentang Syria dan China dalam aksi persahabatan pada September depan.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai khor Abdullah berkata, perkara paling penting adalah mencari kelemahan sebelum bermulanya Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November.

“Bagi saya ia satu tindakan yang tepat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan ketua jurulatih, Kim Pan-gon untuk mencari lawan yang lebih kuat agar kita dapat lihat di mana kelemahan kita.

“Tak ada makna kalau asyik jumpa pasukan seperti Timor Leste atau Papua New Guinea yang memang kita tahu boleh menang dan ia sudah tentu tidak akan memberikan cabaran kepada pasukan negara.

“Bagi saya kekuatan China dan Syria agak mirip dengan pasukan yang akan kita lawan pada pusingan kelayakan itu, sekali gus akan jadi pendedahan berguna kepada pemain-pemain negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Isnin, FAM telah mengumumkan Syria dan China akan menjadi lawan skuad Harimau Malaya dalam aksi persahabatan di Chengdu, China pada 6 dan 9 September depan.

Ia sebagai persiapan sebelum Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November depan yang menyaksikan Malaysia diundi bertemu Oman, Kyrgyzstan dan pemenang antara Taiwan atau Timor Leste dalam Kumpulan D.

Berdasarkan ranking terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 20 Julai lalu, Malaysia berada di kedudukan ke-136 dunia, sementara China (80) dan Syria (94).

Sementara itu, Mohd Azraai berkata, tiada apa yang perlu dirisaukan jika kedua-dua aksi persahabatan itu berakhir dengan kekalahan dan sehingga menjejaskan ranking Harimau Malaya.

“Terjejas (ranking) itu tak apa, namun yang paling penting kita kena fikir mengenai persiapan pasukan kerana mereka bakal beraksi di peringkat yang lebih tinggi.

“Ini platform yang betul untuk menguji kekuatan pasukan negara. Saya yakin pasukan negara boleh menyaingi Syria dan China dan mungkin boleh memberikan keputusan positif,” jelasnya.