Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, meluahkan perasaan puas hati berdasarkan persembahan yang telah dipamerkan barisan pemain susulan seri 2-2 dengan Syria dalam aksi persahabatan semalam.

Ia merupakan perlawanan tertutup sekaligus menjadi persiapan terakhir pasukan sebelum menghadapi sepak mula aksi Piala Asia berdepan Jordan minggu hadapan.

Malaysia membuka jaringan menerusi Arif Aiman Md Hanapi pada separuh masa pertama (minit ke-39) sebelum Syria bangkit dengan dua gol dalam tempoh empat minit di separuh masa kedua menerusi Pablo Sabbag (minit ke-70) dan Ibrahim Hesar (minit ke-74).

Selepas tamat perlawanan, Pan-gon memberikan pandangan positif berdasarkan prestasi yang telah dipamerkan pasukannnya.

"Permulaan yang baik buat pasukan, kami menunjukkan mampu bersaing dengan pasukan yang berada di ranking lebih tinggi," katanya.

"Kami membuat banyak pertukaran pemain dalam separuh masa kedua bagi memastikan setiap pemain mendapatkan minit permainan, menyesuaikan diri dengan situasi beraksi dalam perlawanan.

"Dibolosi dua gol selepas mendahului perlawanan dan berjaya mendapatkan jaringan penyamaan sebelum tamat perlawanan.

"Kami membuktikan mampu bersaing dengan pasukan dari Timur Tengah dan sudah bersedia menghadapi saingan Piala Asia.

"Setiap pemain yang turun beraksi telah membuktikan mereka mampu beraksi dan mana-mana pemain boleh dipilih ke dalam kesebelasan utama."

Dapatkan berita terkini, jadual penuh dan kedudukan pasukan Piala Asia Qatar 2023 di sini