Penyerang Manchester City, Erling Haaland, mengakui tiada perlawanan mudah dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menjaringkan gol ke-28 dalam saingan liga itu ketika menewaskan Crystal Palace 1-0 lewat matam tadi.

Haaland menjaringkan gol sepakan penalti pada minit ke-78 untuk memastikan kemenangan tipis City di Selhurst Park selepas Palace memberikan kesukaran buat pasukan juara bertahan berkenaan.

Ketika Haaland lega dapat menjaringkan gol kemenangan pasukannya, dia berkata kekalahan 0-1 Liverpool kepada Bournemouth dalam perlawanan lebih awal merupakan satu contoh betapa sukarnya saingan liga divisyen utama England itu.

"Pada akhirnya, apa yang penting adalah tiga mata," katanya kepada Sky Sports.

"Ia bukan mudah, setiap perlawanan bukan mudah. Anda dapat lihat Bournemouth menewaskan Liverpool.

"Setiap perlawanan adalah satu perjuangan dan anda dapat lihat ia dilakukan City.

"Kami menang dan saya amat-amat gembira," katanya.