Luciano Spalletti mengesahkan Inter Milan sedang berusaha untuk membeli pemain antarabangsa Belgium, Radja Nainggolan, daripada pesaing Serie A, Roma.

Monchi, pengarah sukan baru Roma, menegaskan kelabnya akan mengekalkan Nainggolan tetapi Inter mengejar pemain tengah berusia 29 tahun itu, yang meledak 11 gol Serie A pada musim lalu.

Spalletti berkata Inter masih berharap dapat menyambar Nainggolan, yang juga dikaitkan dengan Manchester United dan Chelsea, dan jurulatih berbangsa Itali itu tidak peduli terhadap kekurangan aktiviti perpindahan kelabnya berbanding pesaing besar, AC Milan.

"Itulah yang sedang dilakukan pengarah-pengarah," kata Spalletti kepada wartawan selepas kekalahan Inter 1-2 kepada Nurnberg dalam aksi persahabatan, awal pagi tadi.

"Seperti yang saya katakan, kita perlu biarkan situasi tertentu matang dan Nainggolan adalah salah seorang daripada mereka. Ia telah dibincangkan dan pengarah-pengarah terus memikirkannya.

"Kami mempunyai pasukan yang baik dengan ramai pemain tidak menonjolkan sepenuhnya potensi mereka dan mereka yang tiba akan membantu menyelesaikannya. Kami tidak perlu mempunyai pasaran perpindahan yang luar biasa untuk mencapai kelompok empat teratas.

"Saya berasa yakin dalam semua cara. Jelas sekali kami mempunyai beberapa perbincangan dan apabila anda berjanji, anda perlu mengekalkannya. Jadi saya yakin ia akan berlaku.

"Kerana dua, tiga, empat pemain yang perlu kami masukkan ke dalam skuad tidak semestinya menjadi juara teratas tetapi ia hanya melengkapkan pasukan di kawasan yang kurang."

Pemain antarabangsa Croatia, Ivan Perisic, tidak disenaraikan dalam skuad Inter yang ditewaskan Nurnberg tetapi Spalletti menegaskan ketiadaan pemain sayap itu tiada kaitan dengan laporan yang mengaitkannya dengan perpindahan ke Manchester United.

"Jika tiada apa-apa perubahan, maka Perisic akan datang ke China (dalam jelajah pra-musim Inter)," tambah Spalletti.

"Dia mengalami bengkak di dalam mulut dan ia kelihatan jelas walaupun dengan mata kasar, jadi dia memilih untuk bertemu doktor peribadi."