Bekas penyerang kebangsaan, Nizaruddin Yusof, memuji sikap pemain berstatus warisan negara, Kobe Chong, yang sanggup mengorbankan karier di England untuk beraksi dalam kancah Liga Malaysia.

Namun, Nizaruddin, ketika ditemu bual wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, berasakan pemain berdarah campuran Jamaica-Malaysia itu perlu bijak membuat pilihan dengan minit permainan perlu menjadi keutamaan dan Selangor boleh menjadi pilihan utama dalam senarainya.

"Mungkin dia mahu membuktikan kebolehan yang dia ada untuk mencapai keinginannya mewakili skuad B-23 atau skuad senior kebangsaan.

"Bagi saya, dia perlu pandai memilih pasukan yang ingin diwakilinya.

"Kerana kalau kita lihat daripada desas-desus, ada tiga pasukan yang inginkan khidmatnya tetapi pada pendapat saya sebagai bekas pemain, dia perlu mencari pasukan yang dia boleh bermain.

"Dia perlu mendapatkan minit permainan yang banyak. Mungkin dia akan lebih selesa bersama jurulatih (Selangor) Nidzam Jamil kerana saya dapat lihat jurulatih itu gemar memberikan peluang buat pemain-pemain muda untuk berada dalam kesebelasan utama.

"Jika dia diberikan peluang untuk bermain, saya rasa dia akan dapat membuktikan kebolehannya dalam masa yang singkat."