ASTON VILLA 1 EVERTON 2

Sean Dyche menegaskan bahawa Everton tidak boleh tergesa-gesa dalam memulihkan reputasi mereka selepas The Toffees mempamerkan aksi menarik ketika menewaskan Aston Villa dalam pusingan ketiga Piala Liga Inggeris (EFL) awal pagi.

Gol daripada James Garner dan Dominic Calvert-Lewin membawa Everton ke pusingan 16 selepas meraih kemenangan 2-1, sekali gus akan mencongak perhitungan dengan Burnley di laman sendiri.

Boubacar Kamara merapatkan jurang pada lewat permainan untuk menyemarakkan semula semangat Villa tetapi pasukan tuan rumah itu sememangnya tidak layak melakar kebangkitan.

Lima bulan lalu, Everton tewas 0-4 kepada Villa di Villa Park dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi mereka kini meraih kemenangan berturut-turut buat kali pertama sepanjang tahun ini.

Dan Dyche sedar proses pemulihan prestasi pasukannya akan memerlukan masa.

"Kisah mengenai Everton melibatkan kisah dua atau tiga musim ini, ia agak malap. Hanya kami yang boleh mengubah kisah ini.

"Pasukan ini sudah memulakan proses ini, semakin akrab dalam kelab ini, semakin akrab dengan penyokong. Anda mahukan keakraban itu.

"Kami mahukan hubungan yang kukuh dengan penyokong, selebihnya di luar kawalan saya tetapi hubungan yang kukuh adalah sesuatu yang boleh kami dapatkan dengan cara pemain melakukan tugas mereka.

"Kami sedang mencuba mengusahakan beberapa perkara di dalam dan di luar padang. Banyak penyesuaian perlu dilakukan dari atas hingga ke bawah. Anda tidak boleh mempercepatkan semua perkara. Beberapa musim lalu tidak seperti yang Everton harapkan.

"Ia kini secara berperingkat, membina pasukan ini untuk lebih kompetitif dan memenangi lebih banyak perlawanan. Selebihnya akan berlaku secara sendiri," katanya.