Penjaga gol simpanan Liverpool, Caoimhin Kelleher, bersedia meninggalkan Anfield demi menjadi posisi nombor satu kelab pada masa akan datang.

Selama beberapa musim, pemain berusia 25 tahun itu telah menjadi sandaran kepada penjaga gawang utama, Alisson Becker, meskipun pernah diturunkan dalam perlawanan besar seperti aksi akhir Piala Liga Inggeris (EFL) 2022 sewaktu kendalian Jurgen Klopp.

Tekanan itu semakin dirasai apabila The Reds menandatangani potensi baru iaitu Giorgi Mamardashvili yang secara rasminya akan bersama skuad kendalian Arne Slot pada musim depan.


"Saya menegaskan bahawa kebelakangan ini saya mahu menjadi pemain utama dab ingin bermain setiap permainan," katanya ketika mewakili Ireland dalam saingan Liga Negara-Negara, baru-baru ini.

"Sebaliknya kelab membuat keputusan untuk mendapatkan lagi seorang penjaga gol baru, namun cita-cita saya sentiasa jelas bahawa saya mahu bermain.

"Saya akan buktikan yang saya cukup bagus meskipun ia bukan keputusan saya," tambahnya.

Sebagai rekod, Kelleher sudah melakukan sebanyak 47 penampilan dalam semua kejohanan sejak menyertai Gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu pada 2019.