Pengendali Hoki Negara, Sarjit Singh pula memberi gambaran bahawa dia lebih gemar memilih pemain yang mampu beraksi dalam beberapa posisi berlainan, mengambil kira era moden hoki.

Sarjit turut akui nama-nama besar bakal menghiasi kelompok pemain negara yang akan dipanggil pada 1 April kelak.

“Saya melihat ramai pemain muda berbakat dalam pasukan. Ada pemain yang mampu beraksi dengan baik. Dalam dunia moden hoki sekarang kita perlu pemain yang boleh bermain di pelbagai posisi.

“Satu tugas yang sukar bagi mengintai kelompok akhir 30 pemain. 30 pemain ini akan bermain untuk Piala Sultan Azlan Shah. Namun, kita tidak akan mengabaikan baki 15 pemain yang tidak dipanggil kerana mereka akan diserapkan dalam program yang kami akan fikirkan untuk memastikan mereka tetap berlatih,” ujar Sarjit.

Sementara itu, Kapten Hoki 5 Sebelah, Akhimullah Anuar Esook anggap kemarau tiga tahun tidak dapat beraksi bersama skuad negara semasa kendalian jurulatih Arul Selvaraj umpama 'mati hidup kembali' apabila diberi kepercayaan Sarjit Singh yang melihat potensi pada dirinya.

“Alhamdulillah, saya rasa saya dengan jurulatih dalam persefahaman yang baik. Dia pun pernah bawa saya di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak. Bagi saya ini adalah peluang bagi saya dan saya akan buktikan kemampuan saya dalam pasukan,” jelasnya.