Sabah FC mungkin terpaksa melupakan khidmat enam tonggak utamanya selepas masih mengalami kecederaan apabila bertemu Kuching City FC, di Stadium Negeri, Kuching malam esok.

Jurulatih sementara Sabah, Alto Linus, berdepan tugas berliku untuk berkunjung ke Stadium Negeri menentang Kuching City malam esok apabila dijangka tanpa enam tonggak utamanya akibat kecederaan.

Antara pemain yang berada dalam senarai kecederaan termasuklah Gabriel Peres, Saddil Ramdani, Cifu, Farhan Roslan, Kwan Ming Ko dan Darren Lok.

“Mereka mengalami kecederaan ini selepas perlawanan menentang PT Athletic FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras dalam perlawanan kedua Pusingan 16, Piala Malaysia tempoh hari.

“Ini bukan masalah besar kerana saya percaya ia akan memberi peluang kepada pemain-pemain lain untuk memikul tugasan ini.




"Saya percaya mereka mampu melakukannya,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi..

Menurutnya, kelab di tangga ketiga Liga Super itu juga mempunyai perancangan tersendiri untuk menghadapi perlawanan ini manakala objektif besar adalah untuk memperoleh keputusan yang positif.

“Kami mengakui Kuching City FC merupakan antara pasukan terbaik dalam Liga Super, lebih-lebih lagi bermain di tempat sendiri namun kami kekal positif dan yakin mampu melakukan apa sahaja pada ketika ini.

“Kami juga akan bertemu Kuching dalam suku akhir Piala Malaysia. Buat masa ini kami tidak terlalu memikirkan tentang Piala Malaysia namun akan kekal fokus dan amalkan pendekatan daripada satu pelawanan kepada satu perlawanan lain," katanya lagi.