Pengurus Derby County, Phillip Cocu, mahu memanfaatkan pengetahuan yang dimiliki ketua pasukan, Wayne Rooney, yang pernah mewakili Manchester United apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam pusingan kelima Piala FA awal pagi esok.

Rooney pernah menghabiskan karier selama 13 tahun di Old Trafford dan muncul sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab itu sebelum kembali ke Everton pada 2017.

Bekas kapten pasukan England itu kemudian meninggalkan Goodison Park untuk menyertai beraksi dalam kancah MLS bersama DC United pada tahun berikutnya.

Selepas menghabiskan dua musim di Amerika Syarikat (AS), penyerang itu menyertai Derby pada Januari lalu untuk menggalas peranan sebagai jurulatih merangkap pemain.


Walaupun sudah tiga tahun sejak meninggalkan United, Cocu beranggapan pengetahuan yang dimiliki Rooney itu boleh membantu The Rams untuk mencipta kejutan di Pride Park.

"Sudah tentu, Wayne sangat penting dan dia mungkin boleh menawarkan lebih banyak lagi sumbangan dalam perlawanan ini kerana dia tahu selok belok Manchester United, tidak seperti orang lain," katanya kepada wartawan.

"Dia mengenali pemain pihak lawan, tahap prestasi dan apa yang diperlukan dalam perlawanan penting ini. Oleh itu, ia akan menjadi sangat penting buat kami pada awal pagi esok."

"Saya fikir ia boleh menjadi elemen penting buat rakan-rakan sepasukannya. Dia sudah terbiasa beraksi dalam perlawanan besar, dia sudah biasa menjadi perhatian.

"Jadi, prestasi yang dipamerkannya mampu memberi impak yang positif tetapi saya berasakan, jika anda tidak biasa beraksi dalam pertemuan seperti ini, adalah lebih baik perhatian itu digalas pemain yang lebih senior supaya anda hanya memberi tumpuan kepada tugasan dan membentuk bekerjasama dengan rakan sepasukan."

Rooney juga akan menawarkan maklumatnya sebelum sepak mula seperti yang pernah dilakukannya sejak menyertai kelab itu.

"Kami sentiasa bercakap dengan Wayne sebelum setiap perlawanan," tambahnya.

"Dia menyertai kakitangan teknikal sebagai langkah persediaan untuk perlawanan bagi menganalisis pihak lawan dan memilih rakaman yang ingin kami kaji.

"Saya selalu bertanyakan pendapatnya. Bukan terhad kepada perlawanan ini sahaja memandangkan dia cukup mengenali United. Saya fikir ini adalah cara kami bekerja.

"Dia seorang pemain paling penting dan dia mahu beraksi. Tetapi dia juga terlibat dengan lebih dekat mengenai taktik pasukan dan bagaimana kami akan mendekati perlawanan.

"Jadi ya, kami akan menerapkan pengetahuannya sempena perlawanan ini dan ia tidak akan berubah."