Pemain sayap Manchester United, Antony Matheus dos Santos, tidak menghiraukan sebarang kritikan dan kecaman ke atas dirinya selepas berjaya menjaringkan gol menentang Burnley FC, Sabtu lalu.

Sejak pertama kali diperkenalkan di Stadium Old Trafford, pemain kebangsaan Brazil itu, hanya berjaya menjaringkan sebanyak lima gol dan tiga bantuan gol dalam 52 aksi penampilan bersama The Red Devils.

Dalam sesi temu bual bersama The Athletic, Antony berkata, bahawa dia tidak tertekan mengenai nilai perpindahannya dari pasukan AFC Ajax ke Manchester United meskipun sukar untuk memenuhi jangkaan peminat di sana.

"Ia sama sekali tidak memberi sebarang kesan kepada saya kerana saya tahu kemampuan saya sendiri.

"Semua orang akan sentiasa bercakap mengenai wang tetapi alasan itu tidak akan diguna pakai apabila kita memenuhi impian mereka.

"Saya akan terus bekerja keras untuk menjadi pemain yang lebih baik dan saya akan buktikan kemampuan sebenar saya di hadapan semua peminat.

"Apa yang penting sekarang ialah, saya perlu kekal fokus dan akan sedaya upaya membantu pasukan," katanya.