"Paris Saint-Germain (PSG) mungkin telah mendapatkan beberapa pemain terbaik dunia seperti Neymar dan Kylian Mbappe tetapi Real Madrid tetap kekal sebagai pilihan utama Liga Juara-Juara Eropah (UCL)."

Itu pendapat bekas pemain Jerman, Michael Ballack, sambil menyifatkan skuad kendalian Zinedine Zidane itu adalah yang terbaik dalam era moden selepas berjaya memenangi UCL dua tahun berturut-turut.

Ballack, yang pernah menjadi naib juara UCL sebanyak dua kali ketika bersama Bayer Leverkusen dan Chelsea, juga percaya bahawa Madrid merupakan pasukan terbaik di dunia buat masa sekarang.

"Bagi saya, Real Madrid kini berada di puncak segalanya. Pengalaman, kualiti dan kejayaan yang mereka kecapi dalam dua tahun terakhir menjelaskan tentang kekuatan mereka.

"Walaupun PSG telah mendapatkan pemain baru yang hebat, mereka masih belum berada di tahap itu. Peluang untuk mereka sama seperti pasukan lain.

"Di atas kertas, Madrid tetap menjadi pilihan utama," kata Ballack.

Ballack juga meluahkan kepercayaannya terhadap pengurus Bayern Munich, Carlo Ancelotti, yang mampu membutirkan kejayaan dalam musim keduanya bersama Bayern.

"Saya percaya dengan keyakinannya kerana dia adalah salah seorang pengurus terhebat di dunia dan mampu untuk menjuarai UCL.

"Ancelotti telah memenangi banyak kejuaraan bersama pelbagai pasukan dan tahu bagaimana untuk menjadi juara melalui pengalamannya.

"Dia tahu cara untuk menyerang dan Bayern memiliki kemampuan untuk menyerang dengan baik. Ancelotti boleh mencapai sesuatu yang besar, memenangi UCL bersama tiga pasukan berbeza."