ANGERS 0 PSG 3

Paris Saint Germain (PSG) meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Angers awal pagi tadi tetapi masih belum boleh mengesahkan gelaran Ligue 1 musim ini selepas Marseille bangkit menewaskan Nantes.

Ketika pencabar terdekat mereka itu sedang ketinggalan dan pada ketika Kylian Mbappe dan Sergio Ramos pula meletakkan mereka di depan, pasukan bimbingan Mauricio Pochettino itu kelihatan akan menjulang gelaran liga Ke-10 mereka selepas tamat babak pertama.

Bagaimanapun, ketika mereka melebarkan kelebihan hasil jaringan Marquinhos dalam babak kedua, mereka kemudian perlu menangguhkan pesta kejuaraan apabila Marseille bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Nantes 3-2.

PSG berdepan cabaran sebelum sepak mula apabila Mauro Icardi mengalami kecederaan sewaktu memanaskan badan sehingga memaksa Pochettino menurunkan Eric Ebimbe dalam kesebelasan utama.

Bagaimanapun, Mbappe membuka jaringan sebelum sejam permainan hasil pertukaran hantaran dengan Achraf Hakimi sebelum melepaskan penyudah kaki kiri dari jarak jauh.

Jaringan itu bermakna PSG telah mendaftarkan 11 gol daripada luar kotak penalti sepanjang musim ini.

Ramos kemudian menggandakan kelebihan itu pada lewat babak pertama dengan menanduk masuk lintangan gemilang Angel di Maria.

Di Maria sekali lagi melakukan hantaran lintang menarik pada lewat permainan dan kali ini untuk ditanduk masuk Marquinhos pada minit ke-77.