Kapten Selangor, Safuwan Baharudin, menuntut mentaliti yang kuat daripada rakan seperjuangan untuk menghadapi Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim Jumaat ini.

Ini susulan kegagalan kem Gergasi Merah menguji Pelaksanaan Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam aksi pra musim Liga Malaysia 2024/2025.

Selangor yang muncul naib juara Liga Super musim lalu mengharungi enam perlawanan persahabatan termasuk tiga aksi menentang kelab dari negara jiran DPMM FC, Young Elephants dan Geylang International.

Meskipun cemerlang merekodkan kemenangan tanpa bolos dalam ketiga-tiga perlawanan itu, barisan pemain bimbingan Nidzam Jamil bagaimanapun tidak berpeluang menguji VAR.

Ia sekaligus menambah lagi cabaran buat skuad bimbingan Nidzam Jamil untuk berdepan JDT apatah lagi mereka kini diuji dengan isu luar padang membabitkan insiden menimpa tonggak utama, Faisal Halim.

"Setakat ini, pasukan Selangor masih tidak dapat menguji VAR dalam perlawanan pramusim sebelum ini, kami berharap dapat membiasakan situasi dalam perlawanan sebenar nanti ketika bertemu JDT," katanya menerusi Nadi Arena.

Bagaimanpun, Selangor tetap giat melakukan persiapan ditambah kehadiran pemain import dari Jordan, Reziq Bani Hani sebagai penggempur baru pasukan.