Di sebalik insiden yang menimpa Faisal Halim, Selangor perlu fokus untuk menghadapi perlawanan Piala Sumbangsih sebagai aksi pembuka tirai Liga Malaysia bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim Jumaat ini.

Ini kerana ujian getir itu penting buat Gergasi Merah menghadirkan tentangan sengit terhadap lawan dan ia juga menjadi harapan tonggak baru, Nooa Laine.

Naib juara Liga Super 2023 itu mengharungi sekurang-kurang enam perlawanan persahabatan termasuk tiga aksi menentang kelab dari luar negara.

Membabitkan DPMM Brunei, Young Elephants dan Geylang International dalam Selangor Asia Challenge, skuad bimbingan Nidzam Jamil merekodkan kemenangan dalam tiga perlawanan itu.

Ia sekaligus memberikan petanda positif buat The Red Giants untuk menghadapi musim baru liga walaupun kehebatan Harimau Selatan sukar dibendung pada aksi pertama nanti.

Mengulas mengenai pelaksanaan Video Bantuan Pengadil (VAR) musim ini, Nooa mengakui ia satu cabaran buat pemain berdasarkan pengalamannya dalam Piala Asia Bawah 23 di Qatar baru-baru ini.