Prestasi yang diperagakan skuad B-23 negara dalam Piala Asia B-23 di Doha, Qatar, setelah kalah aksi kedua 0-2 kepada Vietnam kelmarin amat menyedihkan.

Penganalisis sukan, Azlan Johar, berkata situasi itu amat membimbangkan dan menimbulkan persoalan sampai bila keadaan tersebut akan berlaku.

Malah, dia melihat persiapan yang tidak mencukupi menjadi antara punca skuad bimbingan Juan Torres Garrido gagal mempamerkan aksi yang menggerunkan di pentas Asia.

“Saya nampak skuad ini kurang persiapan. Kecergasan dan persefahaman dalam kalangan pemain menjadi persoalan. Kita tengok Vietnam ketika diserang, mereka turun beramai-ramai perkuatkan benteng.

“Sampai bila kita (skuad negara) nak jadi seperti ini. Sedih dengan keadaan ini, dari dulu nak kaji dan cari solusi, tetapi masih berulang. Ini kejohanan besar, persediaan perlu dibuat dengan teliti dan serius," katanya.

Skuad Harimau Muda yang tewas buat kali kedua setelah kecundang kepada Uzbekistan 0-2 boleh melupakan impian untuk pergi jauh di Doha, biarpun masih berbaki satu perlawanan menentang Kuwait esok.

Azlan yang juga bekas pemain kebangsaan enggan menyalahkan Garrido kerana dia cuma memiliki tempoh tiga bulan untuk mempersiapkan pasukan.

Justeru, dia menuntut semua pihak wajar bertanggungjawab dan mengambil serius untuk memperkasakan pemain muda serta menyediakan skuad yang mantap bagi menghadapi kejohanan akan datang.

“Garrido baru mengambil alih pasukan sejak tiga bulan lalu selepas E Elavarasan meletak jawatan. Kita pun tak tahu punca 'coach' Ela letak jawatan. Apabila keadaan ini berlaku ia memberi kesan kepada pasukan.




“Ia juga jadi persoalan yang para peminat nak tahu. Perkara ini (persiapan pasukan ampuh) melibatkan persediaan organisasi yang besar dan ramai orang berpengalaman dalam itu.

“Tanya diri, apa yang kita buat dan dari situ kita boleh baiki kesilapan dan tidak mengulanginya pada masa depan," katanya.

Selepas dua kekalahan itu, skuad Harimau Muda menghuni tangga ketiga di depan Kuwait tanpa sebarang mata, manakala Uzbekistan mengungguli Kumpulan D berkongsi enam mata dengan Vietnam. -- Sinar Harian