Kejohanan yang mengecewakan, itu yang boleh diungkapkan berdasarkan prestasi Malaysia dalam Kejohanan Piala Asia B-23 apabila menamatkan cabaran tanpa sebarang mata, mengulangi pencapaian dua tahun lalu.

Ketua jurulatih, Juan Torres Garrido, mengakui kad merah penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel, memainkan peranan besar dalam kekalahan mereka namun dalam masa sama, kecewa dengan barisan pemain yang gagal melunaskan peluang demi peluang ketika separuh masa kedua.

“Sukar untuk menilai perlawanan ini kerana apabila kami mendapat peluang untuk menjaringkan gol, situasi yang tidak dijangka (kad merah kepada Sikh Izhan) menyukarkan lagi usaha kami,” kata Garrido.

“Selepas itu ia mengenai penyesuaian permainan namun pasukan memberikan segala-galanya dan kami hampir memperoleh gol penyamaan. Pada saat kami mempunyai peluang untuk menjadi lebih progresif, para pemain mula keletihan.

“Selepas tiga perlawanan kami kekurangan tenaga. Pada separuh masa kami cuba merancang dengan sewajarnya, pemain beraksi cemerlang dari segi apa yang kami minta daripada mereka tetapi kami tidak mempunyai tenaga di sepertiga akhir.”

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Al-Jonoub malam tadi menyaksikan skuad muda negara menutup kempen kumpulan D Piala Asia B-23 Qatar dengan tangan kosong apabila gagal mencatatkan sekurang-kurangnya keputusan seri untuk semua perlawanan diharungi mereka.

Skuad muda negara tewas 1-2 kepada Kuwait sepakan penalti yang disempurnakan Salman Mohammed dan Talal Al Qaisi manakala gol Malaysia pula disumbangkan Haqimi Azim Rosli.

Berdasarkan kepada semua perlawanan kumpulan D yang diharungi Malaysia menyaksikan skuad muda negara hanya menjaringkan satu gol dengan dibolosi enam gol.