Harimau Malaya tewas kepada Thailand dalam perlawanan Kumpulan A Piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024 di Stadium Rajamangala, Bangkok, sebentar tadi.

Selepas terikat tanpa jaringan 0-0 di separuh masa pertama, kedua-dua pasukan merencana strategi baru demi mencari kemenangan kedua untuk mencerahkan peluang ke peringkat separuh akhir.

Kesilapan yang dilakukan penjaga gol, Haziq Nadzli, membawa padah apabila sepakannya tidak sampai ke pemain kebangsaan akibat dipintas tonggak Thailand, seterusnya Patrik Gustavsson mudah memberikan kelebihan buat Gajah Perang di depan.



Harimau Malaya cuba memberi asakan bertubi-tubi untuk menyamakan kedudukan, namun ketumpulan penyudah gagal menghasilkan gol buat Malaysia.

Malang berganda buat skuad negara tatkala Adib Abdul Raop terpaksa dikejarkan ke hospital ekoran pelanggaran serius dengan pemain Thailand.



Kemasukan pemain gantian seperti Fergus Tierney, Najmuddin Akmal, Paulo Josue, Daryl Sham dan Daniel Amier Norhisham, tidak mampu menjadi tunjang terbaru skuad kendalian Pau Marti Vicente menebus kekecewaan tersebut.