Porto menjulang gelaran Liga Perdana ke-29 mereka selepas berdepan saingan sengit daripada seteru ketat di Portugal, Benfica.

Bekas pertahanan Real Madrid, Pepe, Porto, meraikan trofi liga keduanya dalam tempoh tiga musim hasil kemenangan 2-0 ke atas musuh ketat, Sporting CP, awal pagi tadi.

Danilo Pereira dan Moussa Marega meledak sentuhan penyudah dalam separuh masa pertama untuk memastikan Porto mengetepikan cabaran juara bertahan, Benfica, dengan baki dua perlawanan lagi sebagai hadiah perpisahan kepada penjaga gol ikonik, Iker Casillas, yang akan bersara.

Porto hampir menghasilkan prestasi sempurna sejak musim ini bersambung semula bulan lalu berikutan ancaman virus (COVID-19) pada Mac lalu apabila memenangi enam daripada lapan perlawanan termasuk mencipta lima kemenangan berturut-turut.

? OS CAMPEÕES 19/20 ? #FCPorto #DragõesJuntos

A post shared by FC Porto (@fcporto) on



Sementara itu, Benfica hanya meraih tiga kemenangan sejak kembali menyambung perjuangan bulan lalu apabila hanya menghasilkan empat kemenangan daripada 13 perlawanan liga sejak Februari lalu untuk ketinggalan lapan mata dengan Porto.

"Pasukan ini harus diucapkan tahniah atas apa yang telah dilakukan bukan sekadar dalam kejohanan ini," kata Pepe.

"Saingan ini dalam keadaan yang sangat baik tetapi kami tahu bagaimana untuk membatalkan kelebihan selesa mereka. Ia adalah hasil daripada kerja keras dan pengorbanan pasukan, kami tidak pernah berhenti bahkan ketika perintah kawalan pergerakan.

"Apa yang menjadikan kami sebagai juara? Semangat bersatu hati yang kami terapkan khususnya. Kami sedar bahawa kami mewakili sebuah wilayah yang sangat penting di negara ini dan kami semua amat mengenali wilayah ini.

"Apabila keadaan menjadi sukar, kami menggunakan kekuatan ini untuk mengatasi kesukaran. Tidak silapnya saya, selepas tumpas kepada Gil Vicente dalam perlawanan pertama, saya pernah berkata bahawa kami kalah bersama serta akan menang bersama-sama, jadi hari ini adalah buktinya. Bukan setakat pemain, malah seluruh kelab dan semua peminat.

"Kami tidak pernah bercuti, kami selalu bekerja keras dan berusaha untuk menjadi kesempurnaan. Ia sulit tetapi kami terus berusaha untuk ke arah itu. Semangat yang kami ada, kepercayaan terhadap pengurus kerana dia sering menaruh kepercayaan kepada kami.

"Hari ini, di sini, kita dapat melihat hasilnya."