CROTONE 0 AC MILAN 3

Pengendali AC Milan, Vincenzo Montella, memuji pemain-pemainnya yang mempamerkan aksi memukau untuk menewaskan Crotone 3-0 dalam aksi pertama Serie A di Stadium Ezio Scida, awal pagi tadi.


Skuad Rossoneri menjaringkan tiga gol dalam 23 minit pertama untuk mengesahkan kemenangan diimpikan selepas pertahanan tuan rumah, Federico Ceccherini, dilayangkan kad merah seawal minit kelima.

Franck Kessie meletakkan Milan di depan ketika aksi berusia enam minit sebelum Patrick Cutrone menanduk masuk gol kedua pada minit ke-18.

Lima minit kemudian, bekas pemain tengah Liverpool, Suso, menjadikan kedudukan 3-0 dan berjaya memastikan tiga mata diraih pada penghujung perlawanan.

“Pemain-pemain membuatkan saya teruja. Mereka bermain dengan penuh keinginan dan semangat. Kad merah yang dikeluarkan membuatkan laluan kami lebih mudah.

“Bagaimanapun, masih ada ruang buat kami untuk memperbaiki sebarang kekurangan kerana sudah tentu kami perlu sentiasa mempertingkatkan prestasi untuk mengekalkan kemenangan,” ujar Montella.