SEVILLA 0 MANCHESTER UNITED 0

Hasrat Manchester United untuk membawa bekalan sekurang-kurangnya satu gol ke Old Trafford terpaksa dilupakan selepas terikat 0-0 ketika menentang Sevilla dalam aksi pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah di Ramon Sanchez Pizjuan, awal pagi tadi.


Pengendali The Red Devils, Jose Mourinho, melakukan tiga pertukaran dalam kesebelasan utama berbanding aksi bertemu Huddersfield Town dalam saingan Piala FA sebelum ini, apabila menggantikan Luke Shaw, Michael Carrick dan Sergio Romero dengan David De Gea, Antonio Valencia dan Ander Herrera.

Pemain termahal United yang dilaporkan berdepan masalah dengan Mourinho baru-baru ini, Paul Pogba, kembali diletakkan di bangku simpanan.

Bagaimanapun, tuan rumah terlebih dahulu memiliki peluang untuk berada di depan seawal minit ketiga menerusi penyerang, Luis Muriel, namun percubaannya memaksa De Gea melayangkan badan untuk menolak bola keluar.

Kecederaan awal yang dialami Herrera membuatkannya terpaksa dibawa keluar pada minit ke-17 untuk digantikan oleh Pogba, dan pemain tengah Perancis itu pantas memberikan impak di atas padang apabila memberikan ruang untuk Alexis Sanchez melakukan lambungan buat Romelu Lukaku lapan minit kemudian tetapi rembatan voli yang dilepaskan sekadar melewati palang gol.

De Gea sekali lagi menjadi penyelamat buat pelawat pada minit terakhir babak pertama apabila tindak balasnya yang pantas menafikan tandukan Muriel hasil hantaran Jesus Navas dari sebelah kanan, mengekalkan kedudukan 0-0 menuju waktu rehat.

Bersambung babak kedua, permainan tampak seimbang dengan kedua-dua pasukan lebih berhati-hati dalam melakukan setiap pergerakan bagi melancarkan serangan.

Peluang terbaik buat anak didik Vincenzo Montella hadir pada minit ke-73 apabila bola lambungan Muriel memberikan ruang buat Pablo Sarabia, namun tandukannya sedikit tersasar tatkala Chris Smalling dan De Gea hanya mampu melihat.

Peluang menerusi serangan balas sembilan kemudian hampir memberikan gol pembukaan buat pelawat hasil rembatan jarak dekat Lukaku, namun pengadil perlawanan, Clement Turpin, membatalkan jaringan tersebut selepas mendakwa bola terlebih dahulu terkena tangan penyerang Belgium itu.

Sepakan percuma pemain gantian, Marcus Rashford, juga nyaris memberikan gol kemenangan buat pelawat tetapi rembatan padu penyerang England itu sedikit tersasar di sebelah kanan gol yang dikawal Sergio Rico dan kedudukan 0-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Kedua-dua pasukan bakal berentap bagi aksi timbal balik pada 14 Mac ini.