Penjaga gol Paris Saint-Germain (PSG), Gianluigi Buffon, percaya bahawa bintang Perancis, Kylian Mbappe, berada di landasan terbaik untuk muncul salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman.

Mbappe, 19, muncul selaku pemain muda yang kedua menjaringkan gol di pentas final Piala Dunia setelah membantu Perancis mengatasi Croatia, bulan lalu.

Seorang lagi pemain yang telah melakukan pencapaian sama adalah legenda Brazil, Pele, yang berjenaka bahawa dia terpaksa membersihkan semula kasut bolanya jika bintang muda itu terus mengancam rekod yang dipegang.

Buffon yang merupakan legenda Itali berpendapat rakan sepasukannya itu mampu mengembangkan kariernya ke tahap terbaik, mengingatkan kembali akan penampilan hebat Mbappe sewaktu aksi separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah musim 2016/17.

Mbappe, yang ketika itu mewakili AS Monaco, meraih pencapaian hebat pada musim tersebut tatkala menewaskan Buffon untuk menjaringkan gol tunggal pasukannya ketika tewas 2-1 dalam aksi timbal balik di Turin.

"Selepas tamat perlawanan, saya bercakap dengan Andrea Barzagli, rakan karib saya, dan dia memberitahu saya 'Buffon, dalam 20 tahun karier, saya sukar melihat seorang pemain yang mampu berlari begitu pantas dengan bola dan tidak mudah untuk saya menghalang Mbappe'," kata Buffon.

"Kenyataan itu jarang dikeluarkan oleh Barzagli kerana apabila berada di tahap kecergasan terbaik dan fokus, dia merupakan antara pertahanan terbaik.

"Jelas sekali Mbappe memiliki sesuatu yang tiada pada pemain lain. Saya harap dia kekal merendah diri dan meneruskan keinginannya untuk berkembang dan sedia untuk berkorban.

"Jika dia mampu melakukannya, Mbappe akan mencatat sejarah baru dalam bola sepak."

Mbappe kembali bersama PSG kelmarin selepas tempoh rehat susulan aksi Piala Dunia.

Dia bakal beraksi bersama Buffon buat kali pertama apabila memulakan saingan Ligue 1 menentang Caen di laman sendiri, Ahad ini.