WOLVES 0 ARSENAL 1

Mikel Arteta ingin bercakap dengan pengadil Liga Perdana Inggeris (EPL) gara-gara Gabriel Martinelli dibuang padang dalam kemenangan 1-0 Arsenal ke atas Wolves, awal pagi tadi.


Gabriel Magalhaes meletakkan Arsenal di depan dalam perlawanan di Molineux itu tetapi The Gunners terpaksa mengharungi debaran hebat untuk beroleh kemenangan pertama pada tahun ini selepas Martinelli dilayangkan kad merah.

Pemain Brazil itu terlebih dahulu diberi amaran kerana gagal mengawal perasaan selepas dinafikan sepakan percuma sebelum dilayangkan kad kuning dua oleh pengadil, Michael Oliver, pada minit ke-69.

Yang pertama adalah kerana cuba menghalang Daniel Podence daripada melakukan lontaran ke dalam dan yang kedua adalah kerana menolak Chiquinho ketika menghambatnya.

Ia adalah kad merah ke-15 yang dikutip Arsenal sejak Arteta mengambil alih jawatan pengurus pada Disember 2019 -– lebih tujuh daripada pencabar EPL yang lain dalam tempoh ini.




Pengurus dari Sepanyol tersebut amat ingin tahu penjelasan pengadil kerana beranggapan insiden seperti itu tidak pernah disaksikannya.

"Ini kali pertama saya melihat kad merah seperti ini dalam tempoh 18 tahun saya berada dalam liga ini. Saya fikir anda perlu cukup bersedia untuk malayangkan kad merah dalam situasi itu," katanya.

"Tetapi itulah yang berlaku. Kami sedar bahawa bermain dengan 10 pemain dalam liga ini, anda tidak akan meraih mata yang dihajati dan kami perlu menghentikannya keputusan seperti ini.

"Tetapi untuk bersikap adil, sukar untuk berhujah lebih panjang atau berpesan kepada pemain. Semua orang berkata kami adalah kumpulan paling berdisiplin yang pernah mereka lihat sejak 15 tahun lalu, tetapi kami masih menerima kad merah atas sebab tertentu.

"Jika anda bertanya sama ada saya gembira dengan layanan pengadil terhadap kami musim ini, saya tidak sama sekali. Tetapi saya akan bercakap dengan pengadil secara peribadi.

"Kami perlukan penjelasan tentang apa yang berlaku dalam video bantuan pengadil (VAR) dan saya memerlukan penjelasan mengenai kejadian hari ini."