Marseille mengumumkan bahawa penjaga gol, Steve Mandanda, sah meinggalkan kelab itu secara persetujuan bersama, dua tahun sebelum kontraknya tamat dan selepas melakukan 613 penampilan.

Mandanda, yang mempunyai 34 penampilan antarabangsa bersama Perancis dan pernah menjadi penjaga gol sokongan buat Hugo Lloris dalam Piala Dunia 2018, melanjutkan kontraknya di Stade Velodrome pada Ogos 2020 dan kesepakatan itu sepatutnya tamat pada penghujung musim 2023-24.

Bagaimanapun, Marseille mengumumkan malam tadi bahawa pemain legenda mereka itu akan menamatkan tempoh berkenaan lebih awal selepas dikaitkan dengan Rennes dan Nice dalam beberapa minggu ini.

"Olympique de Marseille dan Steve Mandanda telah memilih haluan berbeza secara persetujuan bersama," kata kelab itu dalam satu kenyataan.

"OM mahu berterima kasih kepada Steve atas segala sumbangannya buat kelab ini sejak 2007.

"Dengan 613 penampilan bersama jesi Olympian, dia tidak syak lagi seorang legenda kelab ini.

"Kami mendoakan yang terbaik buat masa depannya."

Jumlah penampilan Mandanda itu merupakan yang terbanyak dalam sejarah Marseille dan kesemuanya dilakukan sebagai kesebelasan utama sejak tiba di kelab itu pada 2007.

Bagaimanapun, pemain berusia 37 tahun itu hanya dapat melakukan sembilan penampilan dan merekodkan lima perlawanan tanpa bolos sewaktu Marseille menamatkan musim selaku naib juara Ligue 1 musim lalu.