Penyerang berbisa negara, Luqman Hakim Shamsudin, yang kini berpangkalan di Jepun berkhidmat untuk kelab divisyen tiga, SCC Yokohama mendedahkan sebenarnya ada menerima beberapa tawaran daripada kelab Jepun termasuk divisyen J1.

Produk Program Pembangunan Akar Umbi (NFDP) itu meninggalkan KV Kortrijk dan memilih untuk berpangkalan di kelab divisyen ketiga, SCC Yokohama.

Dalam satu temu bual eksklusif bersama wartawan Astro Arena, Fatin Ruzaiman, dia cenderung untuk memilih situasi menang-menang demi mengukuhkan kariernya di luar negara.

"Ketika saya minta untuk dipinjamkan, jendela perpindahan di Eropah masih belum dibuka dan mereka tidak dapat menggantikan pemain sedia ada.

"Disebabkan itu, hanya Jepun menjadi tempat untuk saya membuat pilihan.

"Sebelum ini memang dah dijemput pihak kelab untuk menonton satu perlawanan sebelum menandatangani kontrak.

"Apa yang saya lihat pada pasukan ini, ciri-ciri dari segi cara permainan yang berintensiti tinggi dan sikap professional menyebabkan saya berminat untuk sertai," kongsi Luqman.

Luqman turut menganggap tidak wujud perbezaan ketara melibatkan kualiti diantara KV Kortrijk dan juga SCC Yokohama.





"Saya ada rakan sepasukan dari Jepun ketika KV Kortrijk, melihat dari segi mereka bermain cukup membuatkan saya berminat untuk mula berhijrah ke Jepun," kata Luqman.

Dalam kesempatan itu, Luqman juga menyeru pemain-pemain yang berjuang di negara asal cuba untuk merasai pengalaman bermain di luar negara seperti Jepun atau Eropah sekali pun.

"Saya mahu buktikan kemampuan sebenar sebagai seorang pemain bola sepak Malaysia untuk bersaing mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

"Mungkin ada lagi pemain Malaysia yang boleh berjaya di Eropah dan mampu membuka pintu peluang untuk pelapis di masa akan datang," kata Luqman.

Luqman dengan misi membangunkan nama Malaysia dan membuka mata orang luar terhadap kemampuan serta bakat sebenar pemain-pemain negara.