Liga Bola Sepak (MFL) membuka semula permohonan lesen luar biasa kepada semua kelab M3 Liga Bolasepak Amatur (AFL) untuk menyertai Liga Super 2024-2025.

Langkah ini diambil selepas keputusan First Instance Body (FIB) dan Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) yang menolak permohonan Lesen Kebangsaan oleh Kelantan FC bagi kempen Liga Super musim 2024-2025.

Permohonan lesen luar biasa ini dibuka semula kepada kelab-kelab AFL M3 berdasarkan kepada Perkara 4.5, 4.6 dan Annexe III Peraturan Pelesenan Kelab MFL.

“Ketiadaan Kelantan FC menyaksikan kekosongan slot ke-14 bagi saingan Liga Super musim ini.




“Justeru MFL telah meminta semua kelab M3 AFL yang berminat untuk mengemukakan permohonan lesen luar biasa ini pada 18 Januari 2024 dan proses penyerahan semua dokumen menerusi AFC CLAS akan bermula 19 Januari 2024 hingga 2 Februari 2024,” jelas MFL dalam satu kenyataan rasmi, sebentar tadi.

Bagaimanapun, kriteria permohonan luar biasa M3 AFL dan sub-kriteria iaitu infrastruktur, kakitangan dan pentadbiran, sukan, perundangan, kewangan serta perniagaan yang telah dinyatakan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023 tidak berganjak.