Tersingkir daripada saingan Piala FA minggu lalu tidak menjejaskan semangat dan persiapan Perak menjelang misi tiga mata berdepan Selangor dalam aksi Liga Super di Petaling Jaya petang esok.

The Bos Gaurus disingkirkan Terengganu dengan kekalahan 1-2 dalam pusingan pertama Piala FA minggu lalu.

Kekalahan itu, bagaimanapun, memberikan motivasi buat tonggak pertahanan, A. Shivan Pillay, yang mahu pasukannya bangkit demi menaikkan kedudukan Perak dalam carta Liga Super 2024-25.

"Saya rasa teruja kerana penyokong kami akan memenuhkan bahagian penyokong pelawat di stadium," katanya kepada Astro Arena.

"Kami mahu bermain dengan penuh semangat dan kami sudah terbiasa dengan keadaan stadium penuh seperti di Terengganu tempoh hari.

"Kami mahu buat yang terbaik untuk dapatkan lebih ramai penyokong Perak datang ke stadium.

"Saya rasa kekalahan (kepada Terengganu) memberikan kami lebih motivasi.

"Kami sudah bersatu kembali sewaktu latihan dan amat bermotivasi.

"Kami mahu mendapatkan tiga mata kerana ia amat penting untuk kami berada dalam kelompok atasan liga," katanya.