Ketua jurulatih Perak, Yusri Che Lah, berkata pasukannya terlalu hampir untuk mendapatkan tiga mata ketika diikat Terengganu 2-2 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung sebentar tadi.

Dalam perlawanan itu, Perak dua kali berada di depan hasil hasil sepakan penalti dalam setiap babak, masing-masing disudahkan Luka Milunovic (m-9) dan Luciano Guaycochea (m-57).

Bagaimanapun, mereka dibolosi pada penghujung kedua-dua babak berkenaan, di mana kekasaran yang dilakukan Shivan Pillay Asokan ke atas Safwan Mazlan membuka ruang buat Nik Shariff Haseefy Lazim menyamakan kedudukan buat Terengganu dalam waktu kecederaan.

Yusri tetap bersyukur dengan keputusan itu tetapi mengingatkan barisan pemain mudanya untuk mengelakkan kekasaran yang tidak perlu kerana bola sepak moden ketika ini dilengkapi dengan sistem video bantuan pengadil (VAR).

"Syukur Alhamdulillah dengan keputusan yang kami terima petang ini, kami terlalu hampir untuk mendapatkan tiga mata tetapi dihukum dengan satu lagi kelalaian pada minit terakhir," katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

"Mungkin pemain lupa yang sekarang ini sudah ada VAR. Hari ini tiga penalti dijaringkan.

"Bagaimanapun, pujian buat pemain memandangkan mereka sudah berusaha sehingga ke tahap ini walaupun kita mengetahui semua orang tidak menyukai keputusan seri.

"Kalau kita lihat di atas kertas, mungkin kami tidak setaraf dengan pasukan lawan tetapi pemain sudah menunjukkan komitmen yang tinggi.

"Kami tidak sepaututnya memberikan lawan peluang pada minit-minit akhir. Apabila ada VAR, kita harus paham ia memberikan sesuatu yang positif buat pasukan yang bijak menggunakan peluang.

"Sebaliknya, pasukan yang gagal mengeluarkan bola akan memberikan tekanan, yang seandainya kita lihat ia sebagai kekasaran ringan, tetapi jika ia keputusan pengadil, kita harus terima.

"Di sini saya perlu mengingatkan kepada pemain muda saya -- Shivan baru berusia 23 tahun, dia perlu menilai. Pemain lain juga perlu memberikan semangat kepadanya bagi perlawanan yang akan datang.

"Kerana kami hanya dipisahkan tiga minit dengan kemenangan," katanya.