Heberty Fernandes muncul wira Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila jaringan hatriknya memastikan Harimau Selatan mengatasi Sri Pahang 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri sebentar tadi.

Turun tanpa gandingan serangan utama, Bergson da Silva dan Fernando Forestieri, JDT jelas tidak terkesan, bahkan Heberty menjadikan perlawanan itu sebagai satu cetusan menarik ketika digandingkan bersama penyerang kebangsaan, Romel Morales.

Penyerang kelahiran Brazil itu hanya memerlukan empat minit untuk meletakkan Harimau Selatan di depan dengan melakukan larian solo menarik sebelum melepaskan rembatan leret dari luar kawasan penalti untuk menewaskan penjaga gol, Zarif Irfan Hashimuddin.

Selepas jaringan itu, Sri Pahang kelihatan bergelut untuk merencanakan serangan, bahkan membenarkan deretan pemain JDT berleluasa di kawasan mereka.

Aksi dalam babak kedua masih milik JDT dan Heberty memperoleh jaringan keduanya pada minit ke-66 dengan satu lagi rembatan leret jarak jauh selepas menerima lintangan ke belakang Endrick dos Santos.

Dan pemain berusia 35 tahun itu memastikan bola perlawanan berkenaan menjadi miliknya apabila melengkapkan hatrik dengan menghukum kesilapan hantaran Zarif Irfan pada minit ke-87.

Dengan kemenangan itu, JDT mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Super dengan 12 mata maksimum selepas empat perlawanan.