Selepas perlawanan minggu ke-13 Liga Super Malaysia, Penang kini jatuh ke kedudukan tiga tercorot liga selepas sekadar mencatatkan dua kemenangan setakat ini.

Penang yang gagal mengutip sebarang kemenangan dalam lima aksi terakhir itu mengumpul 11 mata di belakang pasukan Kedah di samping merekodkan lima kekalahan dan lima seri.

Menurut ketua jurulatihnya, Akmal Rizal Rakhli, keadaan semasa skuad Harimau Kumbang itu memberi tekanan tinggi buatnya susulan tidak menepati sasaran yang ditetapkan oleh pihak pengurusan Penang.

Menurut wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, barisan pengurusan skuad Penang bakal mengadakan mesyuarat mengenai hala tuju dan prestasi pasukan itu.



"Kami tidak boleh terus kalah dan kehilangan mata pada perlawanan seterusnya kerana jika tidak kami akan berada di kedudukan terbawah dan sudah pasti tidak akan mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.

"Ketika sedang memasuki pusingan kedua Liga Super, banyak kerja yang perlu dilakukan dan setiap pemain sedar mereka perlu mempamerkan usaha yang lebih," luahnya.