Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, memberi peringatan kepada seluruh individu yang meminati bola sepak di Selangor supaya menjaga tingkah laku yang boleh mengundang kepada keganasan.

Menerusi hantaran rasmi Baginda dalam Facebook Selangor Royal Office, pesanan itu ditujukan khas kepada pengurusan pasukan Selangor, kelab penyokong dan Ultras Selangor yang hadir dalam setiap perlawanan.

Baginda bertitah supaya setiap pihak bijak mengawal emosi agar tidak terjerumus dengan provokasi yang boleh memberi kesan negatif yang akhirnya membinasakan.




"Sesungguhnya dalam bola sepak, menang atau kalah adalah adat pertandingan namun yang lebih penting, semua yang terlibat meraikan pihak yang berjaya dan mengambil tauladan daripada setiap kekalahan," titahnya.

Baginda ingin terus melihat bola sepak kekal menjadi sukan yang menyatupadukan rakyat jelata tanpa ada anasir-anasir luar yang cuba merosakkannya.