Kapten Kedah Darul Aman, Sony Norde, mengakui perjuangan dia dan rakan sepasukan ketika ini adalah atas dasar kelangsungan karier bola sepak di samping misi mempertahankan maruah kelab.

Penyerang kelahiran Haiti itu memberi jaminan mereka akan terus bersama-sama dengan ketua jurulatih, Nafuzi Zain, mengharungi ranjau sambil tidak meletakkan harapan tinggi agar segala permasalahan semasa dapat diselesaikan segera.

Tonggak berusia 35 tahun itu turut menyeru lebih ramai penyokong hadir membanjiri Stadium Darulaman ketika perlawanan Liga Super seterusnya bertemu PDRM, minggu depan.

"Semua orang dalam pasukan ini meratapi situasi sukar buat masa ini. Kami akan cuba untuk melakukan yang terbaik setiap kali berada di atas padang," katanya yang sudah mengumpul dua gol liga.

"Kami mahu cuba untuk meneruskan rentak kemenangan, kehadiran penyokong terutama sekali di laman sendiri akan meningkatkan lagi semangat kami bermain."