Pengendali Belgium, Roberto Martinez, tetap yakin kecederaan yang dialami Vincent Kompany sempat pulih sebelum aksi terakhir peringkat kumpulan bertemu England yang dijadualkan pada 29 Jun nanti.

Khidmat Kompany di pentas Piala Dunia menjadi persoalan selepas kapten Manchester City itu mengalami kecederaan kaki ketika aksi pemanas badan berdepan Portugal yang sekadar berakhir 0-0.

Walaupun dinamakan dalam senarai 23 pemain, Martinez mengesahkan penampilan pemain berusia 32 tahun itu tidak akan dapat disaksikan dalam pertemuan dengan Panama dan Tunisia.

Namun, dia dijangka kembali dalam perlawanan bertemu England pada 28 Jun nanti.

"Kompany akan kembali dalam perlawanan ketiga," kata Martinez.

Selain Kompany, turut bakal terlepas aksi pertama buat Belgium adalah pemain pertahanan, Thomas Vermaelen, walaupun Martinez menjangkakan bek berpengalaman Barcelona itu dijangka dapat bermain dalam aksi peringkat kumpulan.

"Kesihatan Vermaelen dijangka cergas selepas perlawanan berdepan Panama. Dia tidak bersama kami di Sochi tetapi berusaha keras untuk beraksi di Moscow."