Pemain tengah Sepanyol, Koke, telah menandatangani kontrak jangka panjang selama tujuh tahun dengan Atletico Madrid, sekaligus mengekalkannya bersama kelab La Liga itu sehingga Jun 2024.
Koke yang berusia 25 tahun masih mempunyai baki dua tahun kontrak bersama skuad Los Rojiblancos, namun menyatakan untuk kekal dan bersara bersama kelab yang disayanginya sejak kecil lagi.
Selepas menyertai akademi Atletico ketika berusia 8 tahun, Koke melakukan penampilan sulung bersama skuad utama pada umur 17 tahun menentang Barcelona di Camp Nou pada September 2009.
Secara keseluruhan, dia telah melakukan 323 penampilan untuk Atletico, menjaringkan 28 gol serta memenangi Liga Europa 2012, Copa del Rey 2013 serta kejuaraan LaLiga in 2013-14.
Koke menjadi nadi utama skuad kendalian Diego Simeone ketika melayakkan diri ke pentas final Liga Juara-Juara Eropah 2014 dan 2016.