Joao Felix berharap untuk mengikut jejak langkah perkembangan Antoine Griezmann di bawah kendalian Diego Simeone sementara menegaskan dirinya tidak memiliki sebarang masalah di Atletico Madrid.

Atleti berbelanja sebanyak EURO126 juta untuk menandatangani bintang berpotensi dari Benfica itu selepas Griezmann berhijrah ke Barcelona.

Ia merupakan musim yang kurang konsisten buat Joao Felix, yang sekadar meledak lapan gol dan membuat tiga bantuan jaringan dalam 35 perlawanan musim ini.

Gagal tampil cemerlang serta dibelenggu masalah kecederaan menjadi rekod peribadinya bersama Atleti bagi musim 2019-20, namun pemain berusia 20 tahun itu berazam untuk menjadi bintang seperti Griezmann bersama pasukan.

"Jika saya mampu melakukan apa yang dicapai Griezmann, saya berasakan ia adalah perkara yang baik kerana dia mencipta sejarah buat kelab," kata Joao Felix kepada Marca.

"Dia beraksi cemerlang, meningkat dengan banyak di bawah bimbingan El Cholo [Simeone], dan jika saya melakukan perkara yang sama, baik buat diri saya."

Sesetengah pakar bola sepak mencadangkan corak serangan Joao Felix kurang bersesuaian dengan gaya latihan Simeone.

Simeone menjelaskan bahawa Joao Felix akan membuktikan permainan terbaiknya sejurus dia menyesuaikan diri dengan LaLiga, sesuatu yang disetujui oleh pemain kebangsaan Portugal itu.

"Ramai yang memberikan pandangan, kritikan, tetapi saya di sini mahu bermain bola sepak Cholo dan saya mengikut apa yang diarahkan," katanya lagi.

"Saya mula menyesuaikan diri dengan Sepanyol, bermain bola sepak, saya bertemu dengan kelab dan sentiasa berasakan mampu meningkatkan lagi prestasi saya."



Situasi Joao Felix memiliki persamaan dengan Sergio Aguero, yang menjaringkan enam gol dalam 38 penampilan saingan LaLiga pada musim sulungnya sehingga menjadi pilihan penyokong dan berkelana ke Manchester City.

"Kun seorang pemain yang berkualiti, tetapi ketika bersama Atletico, saya baru sahaja berusia lima tahun dan tidak ingat apa-apa," kata Joao Felix.

Mengenai kritikan terhadap dirinya, Joao Felix berkata pandangan orang lain tidak memberikan kesan kepada dirinya.

"Tidak, anda [media] lakukan tugas anda dan saya dengan tugas saya, jika apa yang berlaku tidak kena dengan anda, saya tidak kisah.

"Seperti apa yang katakan, saya bermain kerana suka dan tidak bimbang apa yang orang mahu katakan."

Atleti berdepan RB Leipzig dalam suku akhir awal pagi Jumaat ini dan Joao Felix teruja untuk beraksi negara kelahirannya.

"Ya, Liga Juara-Juara (UCL) sentiasa dilihat sebagai kemuncak buat setiap pemain dan beraksi di Lisbon, di rumah, saya sangat gembira dan baik buat diri saya."