BREMEN 1 FREIBURG 0

Pengurus Werder Bremen, Florian Kohfeldt, menjelaskan sebab dia bergegas ke bilik persalinan sebaik pasukannya meraih kemenangan mustahak 1-0 ke atas Freiburg.


Gol separuh masa pertama daripada Leonardo Bittencourt malam tadi sudah cukup untuk membolehkan Werder Bremen meraih kemenangan yang sangat diperlukan dalam usaha mereka mengelak penyingkiran Bundesliga.

Kohfeldt, yang dihujani kritikan berikutan posisi pasukannya, dengan segera meninggalkan lapangan sebelum memberi alasan bahawa tindakannya didorong wabak koronavirus baru (Covid-19).

"Ia bagi tujuan perlindungan diri. Kalau boleh saya ingin memeluk seorang dua pemain tetapi saya tidak dibenarkan berbuat demikian ketika ini," katanya dalam sidang akhbar.

"Saya tidak mahu memberikan gambaran seperti itu kerana kami masih dalam keadaan luar biasa. Kami tidak dibenarkan bersorak seperti biasa.

"Jadi saya terus menuju ke bilik persalinan dan berasa gembira."



Werder Bremen masih dua mata di belakang Fortuna Dusseldorf, yang menduduki tempat play-off penyingkiran, manakala enam mata dipisahkan dengan Mainz yang menghuni tangga ke-15.

Sejak Bundesliga ditubuhkan pada 1963, Werder telah menghabiskan setiap musim hanya di peringkat teratas, sehubungan itu Kohfeldt lega dengan tindak balas pasukannya di Freiburg.

"Mereka mencurahkan semua emosi yang ada. Ia bukan setakat 99 peratus, ia 101 peratus. Ini adalah asas untuk apa yang kami perlukan dalam minggu-minggu berikutnya. Kami harus berjuang," katanya.

"Kami tampak sudah tertewas, itulah persepsi masyarakat. Kami enggan menerimanya maka barisan pemain berusaha membuktikan bahawa kami ingin kekal dalam liga ini.

"Christian (Streich, pengurus Freiburg) mengatakan bahawa ia adalah kemenangan nasib tetapi ia tetap satu kemenangan. Kami memerlukannya ketika ini, tidak kira dengan cara apa sekalipun,

"Ini menunjukkan kepada kami bahawa kami boleh memperoleh sesuatu jika memberikan yang terbaik. Sekarang kami harus berusaha lagi agar dapat beraksi dengan lebih baik."

Werder Bremen bakal menentang Borussia Monchengladbach yang menduduki tangga keempat, awal pagi Rabu depan.