KOLN 7 WERDER BREMEN 1

Ketua jurulatih Koln, Steffen Baumgart, tidak sabar untuk berdepan Bayern Munich selepas pasukannya membelasah Werder Bremen 7-1 dalam perlawanan Bundesliga di laman sendiri awal pagi tadi.

Pasukan bimbingan Baumgart itu, yang memulakan perlawanan dengan ketinggalan empat mata di belakang pelawat dalam carta Bundesliga, mempamerkan permulaan luar biasa apabila mendahului 5-1 dalam babak pertama hasil jaringan Linton Maina, Ellyes Skhiri, Denis Huseinbasic dan gol berganda Steffen Tiggers.

Jaringan Huseinbasic pada minit ke-36 memastikan Koln memecahkan rekod menghasilkan pendahuluan lima gol terpantas dalam sejarah Bundesliga sebelum Skhiri menemui jaringan kedua peribadinya dan Marco Fridl terjaring gol ke gawang sendiri dalam babak kedua bagi melengkapkan pesta gol berkenaan.

Walaupun Baumgartner gembira menyaksikan Koln menamatkan kemarau lima perlawanan tanpa kemenangan sejak waktu rehat Piala Dunia lalu, dia enggan terlalu terbawa-bawa dengan kejayaan itu menjelang pertemuan dengan pasukan juara bertahan, Bayern, di gelanggang lawan itu awal pagi Rabu ini.

"Ia satu kemenangan yang tidak selalu anda perolehi, itu sudah pasti," katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

"Kami menjaringkan lima gol daripada lima percubaan tepat pertama. Kami gembira dengan keputusan ini.

"Kami melakukan serangan dengan kepantasan yang tinggi dan mendapatkan gol.

"Bagaimanapun, awal pagi Rabu ini, kami akan berdepan sebuah lagi pasukan yang boleh menewaskan pasukan lain dengan keputusan yang sama kami lakukan hari ini. Kami tahu apa yang perlu dijangkakan," katanya.

Kemenangan ke atas Werder Bremen itu juga merupakan kali pertama Koln menjaringkan tujuh gol sejak kali terakhir melakukannya ketika menewaskan Eintracht Frankfurt 7-0 pada Oktober 1983.