Skuad emas Belgium menyenaraikan lapisan pemain berkualiti demi memperoleh keputusan cemerlang dalam perlawanan pertama mereka menentang Slovakia dalam Euro 2024 di Stadium Frankfurt, sebentar nanti.

Meskipun kehilangan khidmat penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois, pemain daripada Wolfburg, Koen Casteels, bakal menggalas tanggungjawab selaku benteng terakhir pasukan itu mengekang asakan Slovakia.

Bekas pemain Manchester United, Romelu Lukaku, diberikan peranan selaku penggempur utama Belgium bagi mencabar kedudukan posisi Romania dalam kumpulan E yang meraih kemenangan terhadap Ukraine, sebentar tadi.

Penyerang berpengalaman itu akan dibantu oleh tiga pemain terkemuka yang semakin mencuri tumpuan di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain Arsenal, Leandro Trossard serta pemain dari Manchester City, Jeremy Doku, akan bergerak selaku pemain sayap kerana mempunyai kelajuan yang mampu mengatur serangan buat Belgium.

Tidak dilupakan, ketua pasukan, Kevin De Bruyne, turut menjadi watak penting Belgium selain memiliki kebolehan mencorak hantaran yang mengelirukan pihak lawan.