Pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools, menjadikan insiden dibolosi tiga gol ketika bertemu Kyrgyzstan sebagai iktibar untuk menghadapi Chinese Taipei dalam perlawanan kedua Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026.

Justeru, tonggak Buriram United itu sedar mereka perlu memperbaiki segala kelemahan di benteng akhir, Cools bertekad memastikan gawang negara tidak dirobek ketika bertandang ke gelanggan pasukan di ranking ke-152 dunia berkenaan, Selasa depan.

"Perasaan saya bercampur-baur memandangkan kami sangat gembira mengecapi kemenangan tetapi sebagai pertahanan, sudah pasti kami tidak mahu dibolosi.

"Pada akhirnya kami meraih kemenangan walaupun dibolosi tiga kali lebih penting. Kami mahu mara lebih jauh dalam kelayakan Piala Dunia.


"Sebagai unit bertahan, kami perlu lebih kompak dalam segala situasi. Kami melakukan beberapa kesilapan dengan melepaskan gol mudah, mula kehilangan keyakinan.

"Pertahanan perlu kental dan kebal. Ia satu proses pembelajaran dan kami akan menimbanya melalui perlawanan," katanya yang kembali berlatih di Wisma FAM selepas berehat sehari semalam.