Skuad boling padang negara telah layak ke pusingan separuh akhir dalam kesemua kategori yang dipertandingkan di Kejohanan Dunia Dalam Dewan 2024, iaitu berpasangan campuran, perseorangan lelaki dan perseorangan wanita.

Perlawanan separuh akhir berpasangan campuran bakal menyaksikan Izzat Shameer Dzulkeple dan Nor Farah Ain Abdullah berdepan cabaran Australia yang diwakili oleh Ray Pearse dan Samantha Atkinson.

Pada aksi suku akhir semalam, Izzat dan Farah menumpaskan pencabar dari Wales, Sara Marie Nicholls dan Kristian Crocker dengan keputusan straight sets 12-8 dan 7-4 bagi mengesahkan sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam genggaman.

Lebih manis, Izzat dan Farah masing-masing mencatat keputusan memberangsangkan dengan mengenepikan antara pencabar utama kejohanan, Ray dan Samantha bagi acara individu juga di peringkat suku akhir.

Menanti Izzat di separuh akhir adalah Harry Goodwin dari England, manakala Farah pula akan berdepan cabaran Linda Ng dari Kanada.

Ini bermakna kedua-dua wakil negara yang dihantar ke Kejohanan Dunia Dalam Dewan itu bakal membawa pulang dua pingat setiap seorang, namun warna pingat itu bakal ditentukan pada hari ini.

"Pingat gangsa telah berada dalam genggaman, hari ini kami turun dengan misi menukar warna agar kilauan pingat lebih menyinar, dan sekarang ketepatan dan mentaliti atlit menjadi fokus utama", kata ketua jurulatih negara, Zuraidi Puteh.

"Semalam kita tewaskan antara pemain pilihan utama kejohanan, jadi dengan kejayaan itu saya percaya motivasi pemain berada di tahap terbaik, namun kita tidak boleh leka kerana kesilapan kecil boleh di kejohanan besar sebegini boleh membawa padah", tambahnya lagi.

Separuh akhir bagi acara berpasangan campuran bakal berlangsung pada jam 3.30 petang ini dan boleh disaksikan di platform Youtube World Bowls (@world_bowls) atau di Facebook World Bowls.