Pemanah recurve negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, mengakui persiapannya menuju ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 berjalan lancar seperti yang diharapkan.

Jelas pemanah berusia 19 tahun itu, fokusnya kini lebih terarah kepada memperkasakan teknik panahan serta aspek mentaliti memandangkan Paris bakal jadi penampilan sulungnya di temasya sukan terbesar itu.

Ariana seterusnya bakal menyertai dua Kejohanan Memanah Siri Piala Dunia yang dijadualkan berlangsung di Yecheon-gun, Korea Selatan bermula dari 21 hingga 26 Mei serta di Antalya, Turkiye pada 18 hingga 23 Jun sebagai medan persiapan terakhir sebelum beraksi di Sukan Olimpik Julai depan.