Ketua jurulatih Hong Kong, Jorn Andersen, nyata kecewa dengan masalah yang masih membelenggu skuad kendaliannya biarpun pelbagai inisiatif telah diambil untuk mengatasi masalah ketumpulan penyudah.

Sejak mengambil alih skuad Hong Kong awal tahun lalu, bekas penjaring terbanyak Bundesliga itu menitikberatkan elemen penyudah sebagai kunci utama penambahbaikan kualiti memandangkan mereka turut dalam persiapan ke saingan Piala Asia di Qatar.

Nada kekecewaan Andersen ada rasionalnya apabila Hong Kong hanya mampu menyumbat enam gol di bawah bimbingannya dan lebih merisaukan, mereka sekali lagi buntu menjaringkan gol biarpun deretan peluang sudah pun terhidang.

"Tahniah buat Malaysia, mereka sebuah pasukan mantap dan saya menyedarinya.

"Penjaring mereka mampu menghasilkan gol, itu yang paling penting. Mereka tidak banyak mensia-siakan peluang.

"Tapi selepas 12-14 deretan peluang dan sekadar menghasilkan satu jaringan ke atas Singapura, sementara hari ini 7-9 peluang terhidang, sekali lagi kami gagal meledak gol.

"Kami membuat banyak siasatan, banyak berlari tapi kami berdepan kesukaran untuk menjaringkan gol," katanya dalam sidang akhbar pasca perlawanan.